Pages

Saturday, August 14, 2010

Ramadhan Adat, Ramadhan Ibadat..


Adat atau ibadat? ~ picture by chalidpix of deviant art



Ramadhan. Ramadhan. Ramadhan.

Kita melihatnya bagaimana?

Adat atau ibadat?

Adakah kita melalaui Ramadhan sekadar untuk merasai kemanisan berhari raya, atau kita melaluinya kerana memahami bahawa Ramadhan adalah mekanisme untuk mempertingkatkan diri menjadi hamba Ilahi?

Hakikatnya, silap melihat Ramadhan, merupakan satu fatal kepada perjalanan diri menjadi hamba.

Hal ini kerana, Ramadhan disediakan, bermatlamatkan bantuan kepada manusia agar benar-benar tunduk kepadaNya.


Bukan saja-saja diberikan kesusahan di dalamnya

Sedikit sukar di dalam Ramadhan. Apabila tidak boleh makan minum suka hati. Ada waktunya, ada masanya. Hampir 12 jam perlu berlapar dan menjauhi makanan dan minuman. Tidak cukup dengan itu, diwujudkan lagi beberapa had seperti tidak boleh bersetubuh, tidak boleh memasukkan sesuatu ke dalam lubang.

Perlu taat. Kadang-kadang diri kehairanan. Takkan korek hidung pun batal? Apa logiknya? Bukan makan pun?

Tambah pula apabila diri ini perlu menjaga pelbagai lagi pantang larang yang selama ini memang wujud di bulan lain, cuma lebih terasa di bulan Ramadhan kerana hendak menjaga apa yang dinamakan sebagai ‘pahala puasa’. Sukar bertambah-tambah.

Solat tarawih pula lagi. Berdiri lama. Baca panjang.

Letih-letih. Susah. Banyak kerja.

Mengapa?

Ini adalah latihan.

Adakah senang menjadi seorang Islam yang taat kepada Allah SWT 24/7?

Maka kekuatan itu dipertingkatkan dengan latihan.

Namun sekiranya kesusahan ini sekadar dilihat sebagai ‘adat’, maka kita tidak akan mendapat apa-apa melainkan penat.

Manifestasi makna ibadah sebenar

Bukanlah puasa itu satu-satunya ibadah yang wujud di dalam Ramadhan. Ramadhan itu sendiri merupakan satu ibadah. Tinggal yang wajib di dalamnya hanyalah berpuasa. Namun di dalamnya, punya 1001 lagi perkara sunat yang boleh dilakukan, bahkan diganda-gandakan pahalanya.

Memandang Ramadhan, ia hakikatnya merupakan ibadah terpanjang di dalam Islam. Sebulan.

Maka menjadilah sepanjang Ramadhan, 24 jam sehari tanpa henti, adalah ibadah. Bagaimana kita melaluinya, begitulah Allah menilainya. Ibadah Ramadhan berjalan sepajang bulannya. Berhenti berpuasa selepas Maghrib, diteruskan pula dengan pelbagai ibadah lain seperti membaca Al-Quran, Solat Tarawih, qiam dan sebagainya.

Begitulah sebenarnya kehidupan kita di 11 bulan yang lain pun.

Seluruh kehidupan adalah ibadah. Menjaga pantang larang yang Allah tetapkan adalah setiap masa. Berusaha menjadi hamba Allah SWT yang terbaik adalah sepanjang masa. Tiada rehat. Tiada henti. Tiada waktu yang kita ‘bukan hambaNya’.

Ramadhan memproduksi suasana agar kita terasa akan hakikat ibadah yang sebenarnya.

24 jam 7 hari hamba Ilahi, beribadah tanpa henti.

Itulah kebenaran hakiki yang perlu kita rasai.

Ramadhan punya matlamat.

Maka Ramadhan perlu kita lalui dengan serius dan bersungguh-sungguh. Bukan hanya kerana terpaksa dan menganggapnya satu kitaran biasa.

Ramadhan punya matlamatnya yang jelas.

Membina taqwa. Taqwa akan membimbing manusia ke jalan kebenaran, menjauhi larangan Allah dan mentaati perintahNya.

Maka ia perlu dilalui dengan penghayatan dan kefahaman yang jelas.

Bukanlah kita melakukan amal-amal di dalam Ramadhan semata-mata untuk mengaut pahala. Tetapi kita perlu melihat ia sebagai satu cara untuk meningkatkan kekuatan diri dalam menjadi hamba Ilahi.

Itulah dia matlamat Ramadhan.

Penutup: Memecahkan Ramadhan adat, kepada Ramadhan pembina Ummat

Maka perlulah kita memecahkan kefahaman atau perasaan di dalam jiwa ini yang memandang Ramadhan semata-mata satu adat, atau satu acara tahunan kitaran yang berulang-ulang.

Allah SWT tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia semata. Semua perkara yang Allah arahkan, suruh, pasti mempunyai makna yang besar dan membawa 1001 kebaikan kepada kita.

Begitulah Ramadhan. Tidak akan wujud perintah agar dijalankan Ramadhan itu sebulan, sekiranya Ramadhan itu sekadar adat semata. Maka kita perlu fokus dan serius. Memperbaharui semula niat. Memahami semula akan matlamat. Lantas memperbaharui semangat diri dalam bergerak menggapai apa yang Allah mahu berikan kepada kita di dalam Ramadhan.

Bukan sekadar pahala.

Tetapi peningkatan diri sebagai hamba kepadaNya.


dipetik dari: http://ms.langitilahi.com/

Chat Box

SATU TAHUN BLOG!


Make your own Countdown Clocks