Pages

Thursday, March 18, 2010

Nak Ke Tak Nak??


(Pilihan di tangan kita. Namun balasannya tetap ada. ~ picture by Osokin)

Benteng yang menjadi pemisah antara kecemerlangan dunia akhirat seseorang, dengan kegagalan mereka, adalah benteng bernama: “Nak ke tak nak?”

Ini adalah benteng ajaib. Kalau kita sebutkan nak, akan muncul pintu pada pintu itu. Sekiranya kita menyebutkan tak nak, maka yang kelihatan hanyalah dinding dan kita akan kekal berdiri di hadapan dinding itu tanpa mampu meneruskan perjalanan.

Manusia yang tidak mampu berjaya, hakikatnya dia tersekat pada dinding bernama nak ke tak nak ini. Hal ini kerana, biasanya mereka akan memilih tak nak.

Mereka tertipu dengan benteng majazi yang sebenarnya tidak wujud itu.

Dan perhatian, dalam membicatakan ‘nak ke tak nak?’ ini, saya membicarakan dalam konteks ‘nak ke tak nak?’ ke arah kebaikan dan sekutu dengannya. Tidak saya bicarakan perihal ‘nak ke tak nak?’ dalam erti kata membuat keburukan dan sekutu dengannya.

Pilihan yang Allah beri

Allah SWT berfirman:

“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Surah Al-Baqarah ayat 256.

Allah menyatakan bahawa tiada paksaan dalam Islam. Tetapi Allah menyatakan juga bahawa, ketiadaan paksaan itu tidak bermakna ia menghilangkan efek mengambil kebenaran dan kejahatan.

Sesiapa yang mengambil kebenaran akan selamat, sesiapa yang mengambil keburukan akan hancur. Hukum ini tetap tidak berubah, walaupun paksaan tidak diletakkan ke atas kita dalam memilih baik dan buruk.

Begitulah sekiranya kita hendak mencapai kecemerlangan, baik kecemerlangan dunia mahupun akhirat. Benteng bernama “nak ke tak nak?” ini tiada paksaan padanya. Anda boleh sahaja memilih tak nak. Juga tiada siapa memaksa anda untuk nak.

Tetapi memilih nak ada efeknya, dan memilih tak nak ada efeknya.

Dan tiada paksaan dalam membuat pilihan, tidak akan menghilangkan efeknya.

Efek memilih nak

Bila anda memilih nak, maka anda memilih satu jalan yang sukar. Kadangkala jalan ini memerlukan anda meninggalkan apa yang selama ini anda suka. Jalan ini juga akan anda tempuhi dengan 1001 ujian dan halangan serta cabaran. Itu kesan sampingan kepada ‘nak’.

Sebagai contoh, apabila membicarakan perihal mengubah masyarakat kepada masyarakat yang mentaati Allah, Syed Qutb menjelaskan keadaan kepada pilihan itu dengan kata-katanya yang masyhur: “Jalan ini tidak ditaburi oleh bunga-bunga, tetapi ditaburi oleh duri-duri yang terpacak

Ini contoh kesan sampingan terhadap pilihan ‘nak’.

Kesan sampingan ini amat ditakuti ramai orang. Menyebabkan ramai yang tidak berani memilih ‘nak’. Namun, kesan sampingan ini hanya wujud dalam waktu yang pendek sahaja. Kesan utamanya adalah beribu kali ganda lebih menyenangkan dari 1001 ujian tadi, dan jika kita membicarakan perihal akhirat, selain menyenangkan, ia juga bersifat abadi.

Allah SWT berfirman: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan” Surah Asy-Syarh ayat 5-6.

Namun, ramai yang terlalu takut dengan kesan sampingan pada jalan memilih ‘nak’ ini.

Itu menyebabkan, ramai yang memilih tak nak.

Efek memilih tak nak

Bila anda memilih tak nak, maka anda memilih satu jalan yang mudah. Anda tidak memilih untuk melepasi benteng, tetapi sekadar berdiri tanpa melakukan apa-apa di hadapan benteng itu. Jalan ini tidak susah dan sukar kerana anda tidak memerlukan usaha dan pengorbanan. Malah, anda boleh berbuat sesuka hati anda tanpa perlu dikawal apa-apa peraturan. Kesenangan, kemudahan, itu adalah kesan sampingan kepada ‘tak nak’.

Kesan sampingan ini menyenangkan semua orang. Menyebabkan ramai yang suka memilih ‘tak nak’. Namun, perlu diketahui bahawa kesan sampingan ini hanya wujud dalam jangka masa yang sementara sahaja. Kesan utamanya, hakikatnya adalah amat menakutkan dan merosakkan diri beerkali ganda lebih dari kesenangan tadi. Dan jika kita membicarakan perihal akhirat, kesenangan sebentar di dunia kerana meninggalkan hukum-hakam Allah, akan dibayar dengan keperitan neraka yang amat dasyat dalam keadaan abadi selama-lamanya.

“Dan janganlah engkau menujukan pandangan kedua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal.” Surah Toha ayat 131.

Namun, ramai yang terpedaya dengan kesan sampingan pada jalan memilih ‘tak nak’ ini.

Itu menyebabkan, ramai yang tidak memilih ‘nak’.

Pilihan di tangan anda. Efek tetap berjalan

Pilihlah. Jika nak ke arah kebaikan, maka anda akan merasai kesan sampingannya yang sementara itu dan kemudian mendapat kesannya yang abadi itu. Jika anda tidak hendak pada kebaikan, dan hendak kepada keburukan, maka anda akan merasai kesan sampingannya yang sementara itu dan kemudian mendapat kesannya yang dasyat dalam bentuk abadi itu.

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” Surah Ar-Ra’d ayat 11.

Melewat-lewatkan pemilihan ‘nak ke tak nak?’ ini menyebabkan anda membazirkan masa anda dan akhirnya mencampakkan anda dalam golongan yang memilih tak nak juga.

“Demi Masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian” Surah Al-‘Asr ayat 1-2.

Keputusan perlu dibuat.

Tiada paksaan.

Tetapi anda akan mendapat apa yang sesuai dengan pilihan anda.

Penutup: Allah Maha Pengasih bukan?

Ini kasih sayang Allah SWT yang terbesar pada pandangan saya. Dia tidak memaksa. Tetapi dengan lemah lembut penuh berhikmah, Allah memberikan amaran. Dengan kuasa-Nya, Allah boleh sahaja membuatkan semua beriman kepada-Nya. Tetapi Dia tidak melakukan demikian. Dia mahu meguji hamba-hamba-Nya dan memberikan mereka IKHTIAR.

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);” Surah Al-Mulk ayat 2.

Allah tidak memaksa untuk kita mentaati-Nya atau bukan, hendak berjaya atau tidak. Tetapi Allah menceritakan keburukan tidak mentaati-Nya, dan keburukan memilih kegagalan.

Sebab itu, Allah melarang sesiapa sahaja yang mentaati-Nya untuk berputus asa. Hal ini kerana, berputus asa adalah antara jalan dalam pilihan ‘tak nak’ tadi. Sesiapa yang tidak berputus asa, dia sentiasa memilih ‘nak’ kepada kebaikan.

Ini satu kasih sayang Allah SWT yang terbesar buat manusia.

Kita yang memilih.

Namun balasan tetap akan wujud untuk setiap apa yang kita pilih.

Tetapi berbalik pada kita, untuk percaya atau tidak dengan balasan terhadap pilihan kita.


Diambil dari www.langitilahi.com

Friday, March 12, 2010

Santapan untuk hari ini...

Pada suatu hari, ada seorang pemuda berjalan-jalan dengan 3 orang pembantunya... Dalam perjalanan mereka ternampak satu bangkai anjing.

Pemuda itu pun bertanya kepada pembantu yang pertama,


"Apakah yang anta nampak daripada anjing itu?"

pembantunya yang pertama berkata,

"Ana nampak banyak ulat pada bangkai anjing itu."

Pemuda bertanya pula kepada pembantunya yang kedua dan ketiga soalan yang sama. Dan mereka menjawab bau yang busuk dan ia mengotorkan jalan sahaja... Selepas itu pembantu-pembantu mereka bertanya kepada pemuda itu,

"Apakah yang tuan nampak daripada anjing itu?"

Pemuda itu menjawab,

"Ana nampak gigi yang putih..."

Pengajarannya:

1) Dalam kita hidup sebagai seorang manusia dan da'ie hendaklah kita berfikiran baik terhadap orang lain.
2) Kita x boleh berprasangka buruk terhadap orang lain walaupun kita mendengar khabar-khabar buruk tentang dia...

Harap dengan sedikit tazkirah dan cerita ini dapat kita peroleh pengajaran dan pedoman untuk kita. Jadikan pengajaran ini betul-betul pengajaran yang dapat mengubah diri kita sendiri... Wallahualam

Chat Box

SATU TAHUN BLOG!


Make your own Countdown Clocks

Halwa Telinga